Friday, April 23, 2010

i-Ngaji.net merupakan laman web rasmi bagi kelas al-Quran secara online yang dikendalikan oleh Ustaz Abd Shukor b Mohamed. Laman web ini diwujudkan bagi mempromosikan program i-Ngaji.net dan menerangkan kaedah perlaksanaan kelas pembelajaran al-Quran melalui internet.

i-Ngaji.net adalah cuma satu kaedah mengendalikan kelas al-Quran tersebut. Jika secara konvensional murid perlu pergi berjumpa dengan guru al-Quran atau kadang-kadang guru ke tempat murid untuk memberikan kelas belajar al-Quran kepada mereka. Kini, melalui kaedah i-Ngaji.net, mereka yang berminat untuk belajar al-Quran boleh berada di tempat mereka sama ada di rumah atau di pejabat. Manakala, guru pula boleh memberikan tunjuk ajar kepada murid dari depan komputer.

Ini adalah sama konsepnya seperti program-program mengaji al-Quran di radio atau di televeisyen, yang mana mereka yang berminat untuk belajar akan menelefon guru al-Quran dan membuat bacaan sambil didengar, dipandu dan dibetulkan oleh guru. Bezanya, i-Ngaji.net menggunakan perhubungan internet menggantikan telefon. Perisian yang digunakan untuk perhubungan internet ini adalah Skype.

Skype dipilih sebagai medium komunikasi dalam kaedah ini kerana Skype adalah percuma. Anda hanya perlu mempunyai talian internet. Jika belajar melalui telefon, sebagai contoh, untuk kelas selama 10 jam sebulan (30 minit x 20 kelas) anda mungkin perlu membayar kos bil telefon sehingga ratusan ringgit sebulan. Selain daripada itu, Skype juga membolehkan kelas dilakukan secara video conference. Guru boleh bersemuka dengan peserta dan peserta akan lebih terasa kehadiran guru di hadapannya.

Objektif
Objektif utama program i-Ngaji.net diwujudkan adalah untuk memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk melancarkan bacaan al-Quran tetapi agak kesempitan masa. Suri rumah yang susah untuk meninggalkan rumah kerana tanggungjawab di rumah dan ketiadaan kenderaan untuk ke kelas al-Quran juga kini mempunyai satu alternatif untuk melancarkan bacaan al-Quran mereka dengan betul dan bertajwid.

Di samping itu, kaedah ini juga boleh menjimatkan masa pelajar dan juga guru. Pelajar tidak perlu mengambil masa untuk bergerak ke tempat guru atau sebaliknya, dan masa perjalanan tersebut boleh diperuntukkan kepada orang lain. Selain dari masa masa, kos perbelanjaan untuk pengangkutan juga dapat dijimatkan.

Kaedah ini juga dapat menarik orang dewasa dan belia yang sering malu untuk menghadiri kelas al-Quran. Mereka sering terasa segan apabila dilihat sudah dewasa, tetapi baru hendak balajar al-Quran. Masih ada mentaliti dalam masyarakat bahawa kelas al-Quran hanya untuk kanak-kanak atau remaja sahaja. Maka, dengan adanya kaedah ini, mereka tidak perlu lagi berasa segan kerana kelas ini hanya berjalan antara seorang pelajar dan seorang guru pada satu-satu masa.

Golongan Sasaran
i-Ngaji.net diwujudkan setelah Ustaz Shukor mendengar rungutan dan rintihan sesetengah peserta dan orang awam kerana susahnya mencari masa untuk bertemu guru bagi menghadiri kelas al-Quran.
 Mereka yang bekerja dan sibuk serta tidak sempat menghadiri kelas al-Quran.
 Suri rumah yang sukar bergerak ke tempat belajar al-Quran.
 Mereka yang boleh membaca al-Quran, tetapi mahu melancarkan bacaan mereka
 Siapa sahaja yang mempunyai kesedaran untuk mempelajari al-Quran.

No comments:

Post a Comment